Artikel Pendek Kemahiran Proses Sains

7a. Berkomunikasi

paintings
“Lukisan adalah sebentuk komunikasi kepada pencerapnya. Ia mungkin menceritakan peristiwa yang telah menjadi sejarah atau peristiwa yang difikirkan akan berlaku”

Jika diandaikan proses-proses sains berlaku secara linear, berkomunikasi ialah proses terakhir dalam jujukan tersebut. Sesuatu hasil inkuiri (yang melibatkan proses-proses sains memerhati, menyoal, berhipotesis, meramal, menyiasat, dan menafsir) akan dikomunikasikan sama ada secara input atau secara output.

Komunikasi secara input adalah komunikasi dengan merekodkan maklumat ke dalam bentuk-bentuk seperti catatan, rakaman, peta, graf, carta, rajah, jadual, dan lukisan. Sementara komunikasi secara output adalah penyampaian maklumat melalui percakapan, atau dengan menunjukkan catatan, rakaman, peta, graf, carta, rajah, jadual, dan lukisan yang merekodkan maklumat tersebut untuk pemerhatian lain.

Proses-proses sains pada hakikatnya berlaku dalam kitaran selagi pemerhatian ada berlaku. Oleh yang demikian, proses sains berkomunikasi amatlah hampir kedudukannya dengan memerhati, kerana sesuatu maklumat yang dikomunikasikan daripada sesuatu sumber akan menjadi bahan untuk pemerhatian lain. Maklumat komunikasi itu akan melalui suatu kitaran inkuiri yang baharu pula; ia akan dihipotesiskan, disiasat, dan ditafsir, sebelum dikomunikasikan selanjutnya untuk memenuhi pemerhatian berikutnya. Dengan kata lain, komunikasi output proses inkuiri keadaan merupakan komunikasi input sesuatu proses inkuiri selanjutnya.

charts

Terdapat banyak bentuk perekodan dan penyampaian maklumat. Ini kerana sesetengah maklumat lebih sesuai dan berkesan, atau tersusun, apabila dipersembahkan dalam bentuk tertentu. Misalnya, maklumat tentang kadar kemalangan jalan raya yang dibentangkan dalam 2 bentuk berbeza iaitu teks dan graf boleh menentukan sama ada pembacanya mudah untuk menggunakan proses-proses sains bagi mencerap maklumat penting, membuat perbandingan, atau mengambil tindakan untuk perkembangan proses-proses sainsnya daripada maklumat tersebut. Bentuk maklumat justeru mempengaruhi keberkesanan penyampaian maklumat dan ketepatan tafsiran yang dibuat.

Berkomunikasi sesungguhnya adalah suatu proses sains yang aktif dan melayakkannya untuk diberi perhatian yang penting sebagai proses sains utama.

*                    *                    *

Contoh am 1

Seorang pelancong bertanyakan arah ke suatu tempat kepada seorang penduduk tempatan. Setelah penerangan diberikan, si pelancong hanya menggeleng kebingungan. Penduduk tempatan tersebut lantas mengeluarkan secebis kertas dan melukiskan sebuah peta ringkas. Kali ini, pelancong itu tersenyum dan mengucapkan terima kasih sebelum beredar.

Tindakan penduduk tempatan menggunakan peta sebagai alat penyampai maklumat arah ialah proses sains berkomunikasi.

Nota : Peta juga adalah suatu kaedah penyimpanan maklumat sebagaimana graf, carta, rajah, jadual, dan lukisan.

 

Contoh am 2

Kelihatan seorang anak kecil sedang meniarap di suatu sudut ruang sambil memegang sebatang pensel. Di hadapannya ada sekeping kertas yang dipenuhi lakaran. Anak kecil tersebut lalu disapa dengan lakarannya dijadikan sebagai bahan untuk berbual dengannya.

Tindakan anak kecil itu menggunakan lukisan yang berfungsi merekod serta meluahkan apa yang difikirkannya pada ketika itu ialah proses sains berkomunikasi.

Nota : “Anak kecil tersebut lalu disapa dengan lakarannya dijadikan sebagai bahan untuk berbual dengannya”. (Tindakan ini iaitu merujuk lukisan anak kecil sebagai bahan untuk berbual dengannya ialah proses sains memerhati).

 

Contoh am 3

Apabila melakukan sesuatu ujikaji, antara perkara yang harus disediakan dalam laporan amali adalah cara pemasangan radasnya. Paling baik adalah kita melukiskan rajah berkenaan cara pemasangannya dan menyokong rajah itu dengan penerangan bersesuaian.

Tindakan menggunakan rajah (dan penerangan) sebagai alat untuk merekod dan menyampaikan cara pemasangan radas tersebut ialah proses sains berkomunikasi.

 

Contoh am 4

Rakan-rakan serumah sewa begitu teruja mendengar perkongsian Rafidah yang baru pulang dari melancong ke negeri atas angin. Sambil menjawab soalan-soalan mereka, Rafidah menunjukkan gambar-gambar pemandangan dan aktivitinya di sana yang sempat dirakamnya.

Tindakan Rafidah menunjukkan gambar tersebut ialah proses sains berkomunikasi.

 

Contoh am 5

Kebanyakan coklat yang digemari ramai datang dari luar negeri terutamanya Eropah. Pengeluar biasanya menyertakan maklumat ini bersama produk. Pengguna boleh menyemak pada pembalutnya untuk mengetahui maklumat ini.

Tindakan pengeluar coklat mencetak maklumat pada pembungkus produknya tersebut ialah proses sains berkomunikasi.

Nota : “Pengguna boleh menyemak pada pembalutnya untuk mengetahui maklumat ini”. (Tindakan pengguna mengenal butiran berkenaan pengeluar produk tersebut ialah proses sains memerhati).

 

Contoh kurikulum 1 KBSR

Ruj : Sains Tahun 4. Unit 2, Proses Kehidupan. Hal 15.

Foto keluarga yang pernah dirakamkan arwah Pak Long menunjukkan atuk dan nenek telah menimang 13 orang cucu ketika foto tersebut diambil. Kenangan yang dirakamkan itu disimpan baik-baik untuk tatapan di kemudian hari oleh terutamanya anak cucu.

Tindakan arwah Pak Long mengambil gambar tersebut ialah proses sains berkomunikasi.

Nota : “Kenangan yang dirakamkan itu disimpan baik-baik untuk tatapan di kemudian hari oleh terutamanya anak cucu”. (Tindakan menatap foto tersebut ialah proses sains memerhati).

 

Contoh kurikulum 2 KBSR

Ruj : Science Year 5. Unit 1, Microorganisms. Pg 10.

Dalam aktiviti lakon peranan yang guru adakan di kelas, anda dan kumpulan dikehendaki melakon peranan satu dialog antara pengacara bual bicara televisyen dengan seorang doktor untuk suatu wawancara selama lima minit. Setelah maklumat dikumpulkan, dialog tersebut ditulis sebagai rangka wawancara tersebut.

Tindakan menuliskan dialog wawancara tersebut ialah proses sains berkomunikasi.

 

 

Contoh kurikulum 3 KBSR

Ruj : Science Year 6. Unit 3, Movement. Pg 52.

Isteri Leman memandu kereta dengan agak laju pada hari tersebut kerana sudah terlewat untuk kerja. Beliau memandu melebihi had laju yang dibenarkan. Dua minggu kemudiannya, surat saman daripada pihak polis trafik sampai kepada suaminya sebagai pemilik kereta itu.

Tindakan pihak polis trafik menulis catatan (surat saman) sebagai tindakan undang-undang berkenaan pemanduan isteri Leman tersebut ialah proses sains berkomunikasi.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s