Artikel Pendek Kemahiran Proses Sains

3a. Ayat Pertanyaan, Ayat Pernyataan, dan Ayat Arahan

"Pembelajaran yang baik tidak dapat lari daripada melibatkan pembinaan ayat pertanyaan, pernyataan, serta arahan"
“Pembelajaran yang baik tidak dapat lari daripada melibatkan memahami ayat pertanyaan, pernyataan, serta arahan”

Himpunan perkataan yang membawa maksud yang lengkap adalah disebut ‘ayat’. Terdapat tiga jenis ayat iaitu ayat pertanyaan (soalan), ayat pernyataan, serta ayat arahan.

Sesudah melakukan pemerhatian, seseorang pencerap yang tercuit rasa ingin tahunya akan membina soalan yang juga disebut ayat pertanyaan. Ayat pertanyaan ini – sama ada dikomunikasikan kepada orang lain atau hanya didengarkan kepada dirinya sahaja – adalah terjemahan kepada rasa ingin tahunya tersebut. Contoh ayat pertanyaan ialah “Adakah kehadiran garam dapat membantu merendahkan suhu ais?”.

Selain menyoal, pencerap juga akan melahirkan pernyataan yang bersifat boleh diuji. Apabila pernyataan tersebut tidak dihasratkan untuk diuji, ia justeru bersifat menyimpulkan terus pemerhatian yang telah dibuat itu tanpa pertanggung jawaban untuk penentuan kesahihannya. Keadaan ini adalah merupakan suatu tindakan membuat inferens. Maka, pernyataan tersebut dikenali sebagai pernyataan inferens.

Sebaliknya jika pernyataan yang dihasilkan itu dihasratkan untuk diuji kesahihannya, ia akan disebut sebagai pernyataan hipotesis. Membuat hipotesis adalah sinonim dengan keperluan eksperimen kerana mencadangkan pembolehubah-pembolehubah yang hendak ditetap serta dikawal dalam sesebuah penyiasatan. Contoh ayat pernyataan, sama ada inferens atau hipotesis, ialah “Kehadiran garam merendahkan suhu ais”.

Pernyataan contoh di atas juga boleh disebut sebagai pernyataan tafsiran, sekiranya ia dilahirkan selepas sesuatu penyiasatan. Cuba renung kembali bahawa setelah sesuatu amali makmal dibuat, dalam laporan ditulis sekurang-kurangnya ‘hipotesis diterima/ditolak’. Ini membawa maksud umumnya sesuatu pernyataan hipotesis dan pernyataan tafsiran boleh jadi adalah pernyataan yang sama; berbeza hanya pada bila ia dibuat.

Ayat jenis ketiga ialah ayat arahan. Contoh ayat arahan ialah “Tentukan adakah kehadiran garam dapat membantu merendahkan suhu ais”. Ayat arahan berbeza dengan ayat pertanyaan dari segi kehadiran kata soal. Ayat arahan tidak mengandungi kata soal, sebaliknya mengandungi kata arahan, seperti ‘tentukan’, ‘padankan’, ‘terangkan’, dan sebagainya.

Ayat pertanyaan adalah ekspresi daripada rasa ingin tahu seseorang pemerhati, atau sekurang-kurangnya ‘adopted‘ (dipinjam) daripada guru atau orang yang lebih berpengalaman – kerana si pelajar masih lemah dalam membina maksud lengkap pertanyaannya. Maka, ayat pertanyaan berkuasa menentukan pemilikan untuk arah sesuatu pembelajaran. Sementara itu, ayat arahan pula adalah bimbingan atau kehendak daripada pihak ketiga (guru misalnya) untuk arah yang harus atau dikehendaki diambil oleh pelajar dalam pembelajarannya.

2 thoughts on “3a. Ayat Pertanyaan, Ayat Pernyataan, dan Ayat Arahan

Leave a comment