
Pengenalpastian, pemprosesan, dan penaakulan adalah tiga kategori umum penyoalan. Soalan-soalan pengenalpastian dan penaakulan berkongsi satu ciri yang sama iaitu ia tidak boleh disiasat. Apa yang dimaksudkan dengan ‘tidak boleh disiasat’ ialah ia tidak memenuhi kriteria soalan yang boleh disiasat. Terdapat 4 kriteria kesemuanya untuk sesuatu soalan yang boleh disiasat iaitu :
- kecukupan masa untuk penyiasatan;
- kehadiran bahan (atau alat) untuk penyiasatan;
- kesesuaian aras pengetahuan penyiasat; dan
- soalan itu mestilah mencadangkan suatu interaksi secara langsung.
Kriteria-kriteria ini dipatuhi oleh soalan berbentuk pemprosesan. Ini menjadikannya sebentuk soalan ‘yang boleh disiasat’.
Jika sesuatu ujikaji itu perlu dilakukan dalam tempoh yang panjang misalnya setahun lamanya dan ahli sains itu mempunyai masa untuk hal itu, soalan yang ditanyakannya untuk ujikaji berkenaan dianggapkan boleh disiasat (diandaikan kriteria-kriteria lain untuk penyoalan boleh siasat dipatuhi). Bagi peringkat pelajar sekolah, had masa yang diandaikan untuk ujikaji soalan pembelajaran rasminya adalah tempoh waktu kelas atau amali pembelajaran tersebut.
Berkenaan dengan bahan atau alat, jika sesuatu soalan itu munasabah untuk diuji tetapi bahan yang diperlukan tidak didapati, maka soalan tersebut boleh diletakkan di bawah kategori ‘untuk penerokaan selanjutnya’ buat sementara waktu, hinggalah bahan tersebut dapat diperolehi.
Soalan juga berperanan menentukan aras pengetahuan si penyoal. Dengan itu, jika soalan yang dibentuk berbunyi sebagai boleh disiasat, ia akan sepadan dengan aras pengetahuan pelajar dalam merangka ujikaji yang perlu demi mengesahkan sebarang andaian awalnya. Di sini, kita dapat melihat satu kesemulajadian dalam bertanya – penyoalan melampaui aras pengetahuan si penanya akan berlegar di titik-titik ekstrem penyoalan. Soalan itu akan tertakluk dalam bentuk ‘apa’ atau ‘mengapa’, berbanding bentuk ‘bagaimana’. Perbandingannya adalah seorang angkasawan yang terapung pegun di angkasa lepas. Beliau memerlukan ‘tanah’ untuk berjejak dan bergerak. Tanpa perkara itu, beliau tidak dapat maju ke sebarang titik baharu.
Jika guru berhasrat mendidik nilai-nilai saintifik dalam diri pelajar, kebiasaan bertanya pelajar perlu diasah dalam bentuk soalan boleh disiasat iaitu soalan-soalan yang berbentuk ‘bagaimana’. Soalan-soalan dalam bentuk ini cenderung membenarkan interaksi secara langsung pelajar dengan bahan atau fenomena.
Syabas en. Imran….terus menyoal. Satu usaha murni utk dunia pendidikan..
LikeLike